La Tahzan

Assalamualaikum

Hidup ini tidak selalunya indah, laut tidak selalunya tenang dan hari tidak selalunya cerah. Namun susahnya hidup, geloranya lautan dan mendungnya hari ianya bukanlah pencacat diari kehidupan. Setiap yang berlaku dan apa yang kita lalui itu ada hikmahnya. Ada cerita disebaliknya. Kita perlu bersedia menghadapinya dan mencari maknanya supaya kita sentiasa ingat kepada Yang Maha Kuasa.

Perlu kita sedar dan yakin dalam apa jua situasi, Allah SWT sentiasa bersama hambaNya. Hanya kita sendiri yang seringkali menghindarkan diri dan alpa daripada Allah SWT. Mungkin ada masanya kita terleka dengan sepoi angin bahagia dunia yang sementara. Atau mungkin kita berada di puncak kebimbangan yang sangat hampir dengan gaung kegagalan dan kekecewaan. Ini yang selalunya membuatkan kita jauh daripada Allah SWT dan dilanda kesedihan. Terlalu bahagia atau terlalu senang akan membuatkan kita terlena, terlalu sedih dan kecewa juga akan membuatkan kita mudah terbabas ke lorong suram.

Oleh itu hiburkanlah hati, tenangkanlah fikiran. Warnai kehidupan ini dengan bunga-bunga senyuman, dinginkan hati dengan salju ketabahan, wangikanlah suasana dengan renjisan kesabaran dan indahkanlah lagi dengan sentuhan keimanan. Hidup ini akan lebih bermakna dan diri kita akan lebih berharga. Pasti usia yang belalu setiap saat tidak sia-sia

Jangan bersedih. Sentiasalah mendekatkan diri serta mengingati Allah. Mohonlah kekuatan dan ketabahan daripada Allah SWT bagi menghadapi kesusahan dan kesedihan. Perbanyakkanlah Zikrullah. Insyallah ketenanga yang kita perolehi.
Terima kasih kerana sudi membaca